Saturday 1 August 2009

Bulan Syaaban..

SAIDATINA Aishah r.a ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka, juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Sesungguhnya mereka dalam keadaan kenyang, tidak lapar dan tidak haus."

Dalam memberikan penjelasan berkaitan tiga bulan yang berturut-turut itu, ada pihak membuat perumpamaan tahun dengan pohon, iaitu Rejab umpama waktu keluarnya daun, Syaaban diumpamakan keluarnya bunga dan Ramadan umpama buahnya.

Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Rejab bulan Allah dan Syaaban itu bulanku, manakala Ramadan itu bulan umatku." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).Ketiga tiga bulan disebut Nabi s.a.w itu adalah bulan rahmat, kasih sayang dan kesejahteraan. Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan.

Syaaban bermaksud berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana pada bulan itu masyarakat Arab dulu bertempiaran ke serata tempat untuk mencari air, sehingga ada yang mencarinya sampai ke gua.

Ia juga diertikan demikian kerana menjadi 'bulan pemisah' iaitu memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan.Nabi s.a.w menjelaskan Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak, dengan nilai berganda bagi mereka melaksanakan kebaikan dan ibadat dengan ikhlas dan bersungguh.

Baginda bertanya kepada sahabat, maksudnya:
"Tahukah kamu sekalian mengapa bulan ini dinamakan Syaaban?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui." Baginda menjawab: "Kerana pada bulan ini bercabang banyak kebaikan."

Dengan keutamaan yang ada pada Syaaban ini, Baginda memanfaatkan kesempatan untuk meningkatkan prestasi ibadat dan amal kebaikan sehingga seolah-olah Baginda tidak pernah melakukan sedemikian pada bulan lain.

Amalan-amalan di bulan Syaaban

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

1. Memperbanyakkan puasa sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa RAsulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
2. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang mengagunkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

3. Bertaubat

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

4. Malam Nisfu Syaaban

Malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban adalah satu malam yang sunat dirayakan dalam syariat Islam kerana ia merupakan malam yang paling mustajab dan penuh rahmat.

Malam nisfu Syaaban ini sayugialah kita hidupkan dengan membaca Surah Yaasiin tiga kali selepas sembahyan fardhu Maghrib. Dan setiap kali lepas membaca Yaasiin akan dibaca doa.

Pada bacaan Yaasiin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan dari bala dan pada bacaan ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal. Cara lain ialah menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan berhimpun membaca zikir dan Al Quran.


Kelebihan bulan Syaaban

1. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda.

2. Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambaNya.

3. Sesiapa yangberpuasa 3 hari pada awal, pertengahan dan akhirnya maka Allah akan menulis baginya pahala 70 orang nabi-nabi, pahala beribadat selama 70 tahundan jika ia meninggal dunia pada tahun itu, ia akan mendapat pahal mati syahid.

4. Kelebihan malam nisfu syaaban pula ialah sesiapa yang bangun mendirikan solat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca al quran dan sebagainya, maka Allah akan membuka untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.

5. Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu Syaaban ialah mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka kepada kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan silaturrahim.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memuliakan Syaaban, bertakwa kepada Allah dan taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkan dia pada satu tahun itu daripada semua bencana dan penyakit."

No comments:

Post a Comment