Sunday 28 March 2010

Akhbar kita terpinggir....

BOLEHKAH akhbar mengubah minda pembacanya. Adakah orang Melayu
kini percaya kepada media arus perdana?
Berapa lama lagi Utusan Malaysia dan Berita Harian boleh bertahan, sebaliknya
akhbar tabloid popular, kurang serius seperti Harian Metro dan Kosmo! terus meningkat.

Orang Cina, sebaliknya meletakkan kepercayaan (trust) kepada media mereka.
Jualan akhbar serius Sin Chew Jit Poh meningkat tinggi, melepasi 374,000 naskhah sehari.
Orang Cina sukakan Sin Chew kerana ia banyak bermain dengan sentimen.
Akhbar itu digemari kerana ia berani mempertahankan hak mereka dan menyoal hak orang lain.

Sehingga kini ia masih mempersoalkan mengapa UiTM, misalnya hanya untuk bumiputera
dan masih menganggap diri mereka sebagai warganegara kelas kedua.
Ironisnya, akhbar itu turut menggambarkan orang Cina sebagai 'Red Indian' di Malaysia –
hanya beberapa hari selepas media menyiarkan senarai orang terkaya di Malaysia!

Begitu juga dengan Nanyang, ia terus bertahan. China Press menjadi akhbar popular
Cina kerana liputan sensasinya.
The Star milik orang Cina pula terus popular kerana ia bukan saja - kini - disokong sepenuhnya
oleh orang Cina, tapi juga orang Melayu, India dan lain-lain.

Jarang kelihatan sekarang orang Cina membaca NST, sebagai pilihan akhbar Inggeris.
Arah tuju yang dilakukan oleh akhbar Cina dan The Star itu memang betul.
Mereka juga mempunyai dasar perjuangan masing-masing. Mereka akan mempertahankan
hak kaum masing-masing.

Berbalik kepada akhbar Melayu. Banyak persoalan yang bermain di fikiran penerbitnya.
Pelbagai cara telah dilakukan untuk meningkatkan jualan, iklan dan sebagainya,
namun usaha itu nampaknya malap.

Pihak pembangkang, yang melihat akhbar Utusan Malaysia sebagai akhbar yang
amat berpengaruh menuang minyak kebencian pula dengan menuduh akhbar itu
sebagai rasis dan sebagainya.

Sama ada umpan pembangkang, terutamanya DAP itu berjaya atau tidak,
masih tidak pasti - tapi persepsi orang ramai ke arah kempen kebencian DAP
itu nampaknya melekat.
Pengiklanan yang rata-rata dikuasai oleh orang bukan Melayu mulai termakan dengan
kempen itu. Fikiran mereka telah diracuni oleh kempen DAP, Anwar Ibrahim serta
konco-konco PKRnya dan segelintir Pas.
Dalam sejarah persuratkhabaran Melayu di negara ini, inilah masa yang paling
malang apabila orang Melayu menolak akhbarnya sendiri.
Sejarah Utusan Melayu bermula pada 1937 di Singapura apabila orang Melayu ketika itu
ramai-ramai menyerahkan apa yang ada pada mereka untuk menubuhkan wadah lidah
rasmi mereka itu bagi menentang penjajah.

Utusan Melayu berhasil dengan perjuangannya sehinggalah negara ini mencapai
kemerdekaannya pada 1957. Sejak itu perjuangannya tidak berhenti dalam menegakkan
Perlembagaan Persekutuan - terutamanya Perkara 153.
Ia tidak pernah malu untuk mencabar minda orang Melayu dan rakyat Malaysia bagi
mempertahankan haknya. Apa salahnya sekiranya akhbar itu mendesak orang Melayu
supaya berubah ke arah yang lebih positif dan produktif?

Apa salahnya jika akhbar ini pernah meniupkan semangat orang Melayu ke atas peristiwa
Natrah di Singapura - bagi mempertahankan agama Islam yang dianutinya.
Apa salah sekiranya ia mendesak orang Melayu menyokong penyatuan bangsanya ke arah
perpaduan daripada berpecah-belah sehingga terbahagi kepada pelbagai puak.
Kita harus sedar perpecahan itulah yang mahu dilihat oleh pihak-pihak tertentu
berlaku ke atas orang Melayu.

Mereka mahu melihat orang Melayu berpecah-belah dan ranap dalam negara ini.
Orang lain amat cemburu kerana orang Melayu masih berupaya memegang kuasa
politik di negara yang berdirinya Menara Berkembar Petronas ini.

Hanya kuasa politik yang masih bertahan di tangan mereka.
Itulah satu-satunya kuasa yang ada. Kuasa ekonomi terlalu jauh dari mereka.
Kuasa intelektual juga, dan kuasa daya saing masih tidak tercapai.
Yang ada hanyalah kuasa politik yang boleh menampung sedikit sebanyak
kuasa-kuasa yang tercicir itu.

Peranan akhbar Melayulah yang akan memainkan tugas itu.
Namun kita dituduh dengan pelbagai tuduhan. Kita dituduh rasis - sehingga
mereka begitu ghairah berkempen supaya akhbar Utusan Malaysia dibakar.

Mereka dalam beberapa upacara politik, telah memulakan kempen membakar akhbar
keramat orang Melayu itu. Apakah orang Melayu sanggup membiarkan ia berlaku?
Akhbar Utusan Malaysia akan terus hidup. Selagi kerajaan yang ada pada hari ini berkuasa,
Utusan Malaysia akan terus hidup.

Namun, dengan perbuatan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang yang
kini dikuasai oleh DAP - saya penuh yakin sekiranya mereka berkuasa ke atas
negara ini kelak, Utusan Malaysia akan dikuburkan.
Ia tidak mustahil.